Friday, 19 December 2014

Kelebihan / Kebaikan Perlaksanaan Lesen Memancing

Artikel ini adalah berkenaan Perlaksanaan Lesen Memancing di satu kawasan 
- pada pendapat saya


Intro
Perikanan rekreasi seringkali dikatakan membawa kesan buruk kepada sumber perikanansekiranya ianya tidak diurus secara berkesan. Di kebanyakan negara maju bilangan pemancing rekreasi melebihi jumlah nelayan komersial, begitu juga dengan jumlah hasil tangkapan mereka.

Di Malaysia, dianggarkan pemancing rekreasi berjumlah sekitar 2 juta orang pada awal-pertengahan 2000an, dan jumlah ini meningkat dari tahun ke tahun. Akan tetapi, jumlah pemancing ini adalah berdasarkan anggaran saintis, dan bukannya daripada jumlah rasmi. Sekiranya benar, jumlah ini melebihi bilangan nelayan komersial (100 ribu), sekaligus berkemungkinan, hasil tangkapan pemancing rekreasi di Malaysia juga adalah melebihi hasil tangkapan nelayan komersial.



http://www.lakegeorgeguide.com/wp-content/uploads/2010/11/fishing-licenses.jpg



Memancing                 = aktiviti yang dilakukan
Pemancing                   = individu yang melakukan aktiviti memancing
Jabatan                        = agensi / jabatan yang mengurus sumber perikanan
Sumber perikanan       = ikan
Perairan                       = sungai, tasik, laut


Apa Lesen Memancing?
Lesen memancing adalah ‘kebenaran’ yang diperlukan oleh pemancing bagi melakukan aktiviti memancing di satu kawasan. Lesen memancing biasaannya dikeluarkan oleh jabatan/agensi yang bertanggungjawab dalam mengurus sumber perikanan di kawasan tersebut.

Biasanya pemancing boleh mendapatkan lesen memancing melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan (permohonan online / borang biasa, yang di pos atau di hantar ke pejabat).Setelah mendapat lesen memancing, maka pemancing tadi secara rasmi telah mendapat kebenaran untuk pergi memancing. Beliau boleh memancing selagi mematuhi peraturan dan syarat memancing yang telah ditetapkan oleh jabatan.

Sistem lesen memancing telah lama dilaksanakan di negara maju, terutamanya yang popular dengan industri perikanan rekreasi.

Apa Tujuan?
Antara tujuan sistem lesem memancing dilaksanakan adalah;
1) Bagi mendapatkan data atau maklumat asas pemancing
2) Menjana pendapatan hasil dari penjualan lesen memancing
3) Bagi memelihara sumber perikanan

http://cdn.patch.com/users/112920/2014/08/53e507d6af7a8.jpg

Apakah Kelebihan / Kebaikan melaksanakannya?
Terdapat banyak kelebihan yang diperolehi hasil dari perlaksanaan sistem lesen memancing ini, terutamanya kepada jabatan, pemancing, dan sumber perikanan.

Dengan adanya sistem lesen memancing, maka data/maklumat asas pemancing dapat dikumpul oleh jabatan yang mengurus sumber perikanan. Data/maklumat ini termasuklah; umur, bangsa, tahap pendidikan, pekerjaan, dan pendapatan seisi rumah, pengalaman memancing. Selain itu, maklumat perhubungan seperti alamat rumah, emel, dan nombor telefon juga boleh diperolehi melalui sistem ini.

Data/maklumat ini berguna bagi menganggar jumlah pemancing yang terdapat di satu kawasan. Bilangan pemancing yang berdaftar membolehkan jabatan mengetahui samada pemancing di kawasan tersebut adalah tinggi atau rendah bilangannya.
Bilangan pemancing berguna bagi menganggar tahap ‘tekanan’ yang dikenakan oleh pemancing keatas sumber perikanan. Sebagai contoh, satu kawasan yang mempunyai ramai pemancing, tetapi sedikit sumber perikanan, maka kita boleh anggarkan bahawa kawasan tersebut mengalami ‘tekanan’ tinggi.

Data/maklumat ini juga dapat membantu jabatan dalam memahami pemancing dengan lebih dekat. Teknik memahami pemancing telah terbukti antara teknik terbaik dalam mengurus sumber perikanan, dan mengurus aktiviti perikanan rekreasi.

Bagi memahami pemancing, antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan menjalankan survei pemancing. Ini bagi mendapatkan pandangan / pendapat pemancing tentang sesuatu isu/perkara yang berlaku. Sebagai contoh, survei boleh dijalankan bagi mengetahui tahap kepuasan memancing di satu tasik/sungai. (samada puas hati atau tidak). Penambahbaikan boleh dilakukan sekiranya punca ketidakpuasan hati pemancing dapat dikenalpasti.

Selain itu, survei juga membantu bagi mendapatkan tabiat/cara memancing yang dilakukan oleh pemancing, samada melakukan aktiviti memancing secara betul/mapan. Survei juga membantu dalam mengetahui jumlah hasil tangkapan pemancing bagi menganggar tahap pengambilan ikan. Survey juga dapat menganggar berapa nilai (RM) yang pemancing telah belanjakan, atau yang pemancing sanggup belanjakan untuk pergi memancing.

Perlaksanaan sistem lesen memancing juga bermanfaat dari segi ekonomi. Hasil jualan lesen memancing dapat menambah pendapatan ekonomi jabatan yang mengurus. Pendapatan ekonomi ini berguna dalam mengurus/menambah baik sumber perikanan. Selain dapat digunakan bagi memperbaiki kemudahan/frasarana/infrastruktur berkaitan perikanan rekreasi.

Pendapatan ekonomi boleh digunakan dalam menjana aktiviti hatcheri ikan atau membekalkan benih ikan, bagi dilepaskan ke dalam perairan. Ini bagi meningkatkan populasi ikan di perairan tadi, sekaligus menambah peluang pemancing untuk mendapat ikan. Pengurusan hatcheri dan pembekalan benih ikan sememangnya melibatkan kos operasi yang sangat tinggi.

Pendapatan ekonomi juga berguna dalam menambah baik habitat ikan. Kemusnahan/pengurangan habitat sering menjadi ancaman kepada sumber perikanan, kerana ikan tiada tempat berlindung dan tempat membiak. Usaha perlu dilakukan bagi memelihara dan memulihara habitat ikan. Usaha memelihara dan memulihara ini sering melibatkan kos yang tinggi. Pendapatan ekonomi hasil jualan lesen memancing sedikit sebanyak dapat menampung kos penambahbaikan tersebut.

http://www.coastalrefuges.org/Resources/Pictures/2.%20Officer%20Shilling%20-%20Crab%20Orchard.jpg

Bagaimana Melaksanakannya?
Terdapat banyak cara boleh dilakukan bagi melaksanakan sistem lesen memancing, terutama di kawasan yang tidak pernah melaksanakannya sebelum ini.

1) Lesen memancing boleh dikeluarkan samada dengan bayaran atau tanpa bayaran. Perbezaan antara keduanya adalah dari segi pendapatan ekonomi. Lesen yang dikeluarkan tanpa bayaran mungkin tidak memperolehi sumber ekonomi dari pengeluaran lesen tersebut. Manakala, persamaan keduanya adalah jabatan kini mempunyai data/maklumat pemancing yang berguna dalam mengurus perikanan rekreasi.

Untuk permulaan (mungkin 5 tahun awal) pengeluaran lesen memancing boleh dilakukan secara percuma. Ini supaya a)pemancing rekreasi tidak terkejut dengan perlaksanaan lesen memancing, b)mendapat penyertaan yang tinggi dari para pemancing, c)dilihat sebagai usaha telus dari pihak jabatan yang mengurus (bukan lesen dijual sebab keuntungan), d)mengubah persepsi pemancing bahawa lesen memancing tidak seperti lesen nelayan yang memerlukan bayaran tertentu.

2) Sistem lesen memancing boleh dilaksanakan secara skala kecil terlebih dahulu, sebelum ianya dapat dilaksanakan dalam skala yang lebih besar. Skala kecil ini termasuklah melibatkan satu kawasan tertentu yang spesifik (Tasik A / Sungai B / Pantai C). Kawasan spesifik ini mestilah dipilih berdasarkan beberapa perkara seperti beirikut; a)pengelibatan aktiviti memancing di kawasan tersebut adalah tinggi, b)untuk memasuki kawasan tersebut adalah terhad/terkawal, c)pemancing mudah didekati bagi memaklumkan pelaksanaan sistem lesen, d)kawasan dimana pemantauan/penguatkuasaan mudah dilaksanakan.

Selain itu, perlaksanaan skala kecil juga boleh melibatkan tempoh masa atau musim memancing tertentu, dan dilaksanakan di kawasan tertentu.
Perlaksanaan skala kecil ini membolehkan jabatan mengenalpasti kelemahan/kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum ianya dilaksanakan dalam sekala besar. Ianya juga penting bagi mengetahui perlaksanaan sistem memancing mendapat sambutan, dan penguatkuasaan dapat dilakukan sepenuhnya, terutama keatas pemancing yang tidak mempunyai lesen memancing.

3) Sistem lesen memancing boleh dilaksanakan secara sukarela terlebih dahulu. Perlaksanaan secara sukarela boleh dikatakan antara yang terbaik kerana pemancing melakukannya atas keputusan sendiri. Akan tetapi perlaksanaannya mungkin memakan masa.

Ianya bergantung sejauh masa promosi/usaha pihak jabatan bagi mendekati pemancing dan menggalakkan pemancing memiliki lesen memancing. Ia juga bergantung kepada siapa golongan pemancing awal yang mempunyai lesen memancing. Pengelibatan golongan berpengaruh (cth: pengerusi persatuan memancing/editor majalah memancing) mungkin akan mempercepatkan proses sukarela ini. Selain itu, ianya juga bergantung kepada hasil/kesan yang dapat ditonjolkan jabatan setelah sistem ini dilaksanakan.

4) Kerjasama dengan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti memancing juga boleh membantu mencapai perlaksanaan sistem lesen memancing. Sebagai contoh melibatkan Persatuan memancing, Persatuan pengusaha bot yang terlibat dengan aktiviti memancing, dan Pengusaha menjual peralatan memancing. 

Kerjasama bukan sahaja melibatkan mereka dalam 'perlaksanaan' sistem lesen memancing, tetapi juga dari peringkat awal lagi. Peringkat awal iaitu peringkat membuat keputusan, dari segi bagaimana kaedah atau teknik yang boleh digunakan bagi mendekati dan menggalakkan pemancing memiliki lesen memancing.

Kesan jika tiada
Ketiadaan data/maklumat pemancing membiarkan sumber perikanan berada dalam keadaan tidak pasti. Kita tidak pasti dimana tahap sumber perikanan kita berada buat masa ini, hasil dari tekanan yang diberikan oleh pemancing rekreasi. Kita juga tidak pasti berapa lama lagi sumber perikanan ini dapat bertahan dalam menampung keperluan aktiviti memancing ini.

No comments: