Tangkap dan lepas ancaman sumber perikanan negara
Access article at: http://www.sinarharian.com.my/umpan/tangkap-dan-lepas-ancaman-sumber-perikanan-negara-1.712904
KEBANYAKAN pemancing rekreasi mengetahui tentang tindakan `tangkap-dan-lepas’ (catch-and-release) iaitu tindakan melepaskan semula ikan yang dipancing ke dalam perairan.
Akan tetapi tindakan ini jarang sekali dilakukan oleh kebanyakan pemancing. Mungkin mereka menganggap tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ merugikan, kerana ikan yang ditangkap sepatutnya dijadikan ganjaran kepada segala penat lelah, wang ringgit dan masa yang telah dilaburkan untuk keluar memancing.
Tambahan pula, keluarga dan rakan-rakan akan menganggap tindakan melepaskan semula ikan yang dipancing sebagai ‘kerja gila’.
Tidak dinafikan, memang hak pemancing untuk ‘tangkap-dan-simpan’, dan bukannya ‘tangkap-dan-lepas’. Memang hak pemancing untuk membawa balik kesemua hasil tangkapan ke rumah, bagi mengimbangi ‘kos’ yang telah dilaburkan.
Selain itu, pengorbanan meninggalkan isteri dan anak-anak juga harus dibayar dengan hasil tangkapan iaitu ikan.
Akan tetapi, apakah kesan sekiranya tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ tidak diamalkan? Apakah kesan kepada sumber perikanan semula jadi, seperti di tasik, sungai, atau laut? Apakah kesan jangka panjang yang akan kita semua hadapi?
Banyak kajian di negara maju mendapati bahawa aktiviti memancing memberikan kesan negatif kepada sumber perikanan di perairan semula jadi. Perbuatan membawa balik kesemua ikan yang ditangkap boleh mengakibatkan jumlah ikan di perairan semula jadi semakin berkurangan – malah berkemungkinan pupus.
Di Malaysia, dianggarkan terdapat lebih dua juta orang pemancing rekreasi, dan jumlah ini melebihi jumlah nelayan komersial. Andaikan setiap pemancing membawa balik seekor ikan, ini bermakna ikan yang telah dibawa balik oleh pemancing adalah sebanyak dua juta ekor.
Bagaimana pula kalau seorang pemancing membawa balik 10 ekor ikan atau lebih? dan memancing hampir setiap minggu? Bayangkan umpama duit di dalam akaun simpanan, sekiranya diambil tanpa kawalan, kesemuanya akan lenyap tanpa kita sedari. Perkara ini amat membimbangkan!
Oleh itu, golongan pemancing di seluruh dunia, terutamanya di negara maju, mengamalkan ‘tangkap-dan-lepas’. Tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ merupakan salah satu strategi pengurusan perikanan rekreasi (recreational fisheries management), bagi mengurangkan kesan negatif aktiviti memancing terhadap sumber perikanan.
Sebagai contoh, tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ ikan bass mulut besar (large mouth bass) di Florida Amerika Syarikat, telah diamalkan oleh pemancing sejak tahun 1970-an lagi.
Kesannya pada hari ini, populasi ikan bass mulut besar semakin bertambah, dan menjadi sumber utama untuk pemancing mencari ‘kepuasan’ semasa memancing di tasik atau sungai di Florida. Tidak hairanlah kelihatan di internet pemancing di Florida jarang sekali pulang dengan tangan kosong, malah ikan yang mereka tangkap kesemuanya besar-besar belaka.
Terbukti, tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ dapat memberikan kesan positif kepada sumber perikanan di perairan semulajadi. Jika tindakan ‘tangkap-dan-lepas’ dapat diamalkan oleh kita semua, iaitu pemancing di Malaysia, maka sumber perikanan di negara kita akan terus kekal dan terpelihara untuk anak-cucu kita di masa yang akan datang.
Gambar sekadar hiasan:
Gambar sekadar hiasan:
No comments:
Post a Comment