Monday, 6 August 2012

Perikanan Rekreasi (Recreational Fisheries)




‘Perikanan rekreasi’ adalah merupakan satu bidang Perikanan, dengan fokus utamanya : memancing merupakan aktiviti rekreasi utama bagi manusia.

Perikanan rekreasi berbeza dengan bidang Perikanan yang lain (seperti perikanan tangkapan, akuakultur & perikanan hiasan) dari segi tujuan dan tekniknya. Tujuan utama seorang ‘pemancing rekreasi’ memancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’ samada untuk berseronok, bersantai, hobi atau bersukan, dan bukannya untuk tujuan komersial atau mendapat keuntungan seperti jenis perikanan yang lain. Manakala teknik di dalam perikanan rekreasi adalah dengan menggunakan ‘mata kail dan tali’ (hook and line).

‘Perikanan rekreasi’ boleh didefinisikan sebagai: kesemua aktiviti manusia yang berkaitan dengan aktiviti ‘rekreasi memancing’.

‘Rekreasi memancing’ (recreational fishing) pula boleh diistilahkan sebagai: kesemua aktiviti memancing yang dijalankan pada bila-bila masa dengan tujuan utama untuk mendapatkan rekreasi.

Manakala, ‘pemancing rekreasi’ (recreational fisherman) adalah: orang/individu yang melakukan aktiviti rekreasi memancing tersebut.

Perikanan rekreasi sebenarnya adalah merupakan ‘perikanan yang berasaskan rekreasi’ (recreation-based fisheries). ‘Rekreasi’ adalah parameter sosiologikal yang boleh didefinisikan sebagai: kesemua aktiviti yang dilakukan seseorang di luar waktu kerjanya untuk menyegar dan merehatkan minda serta badan mereka.

Oleh itu, jika seorang pemancing pergi memancing dengan tujuan untuk mendapatkan makanan atau untuk menambah pendapatan, mereka sebenarnya adalah merupakan ‘pemancing sara hidup’ dan ‘pemancing komersial’, dan secara konsepnya telah terkeluar dari kalangan pemancing rekreasi.   

Bagaimana pula bagi mereka yang memancing dengan tujuan untuk mendapatkan rekreasi tetapi menyimpan dan membawa pulang hasil tangkapan mereka?.

Walaupun tujuan utama pemancing rekreasi pergi memancing adalah untuk mendapatkan rekreasi, akan tetapi, mereka masih juga boleh menyimpan sebahagian atau kesemua hasil tangkapan mereka. Menyimpan atau tidak menyimpan hasil tangkapan hanya mencerminkan ‘orientasi konsumtif’ bagi seorang pemancing. ‘Orientasi konsumtif’ (consumptive orientation) boleh didefinisikan sebagai kecenderungan pemancing rekreasi untuk menyimpan atau melepaskan ikan yang ditangkap.

Bagi pemancing yang mengamalkan konsep ‘tangkap dan lepas’ (catch and release), mereka ini adalah golongan pemancing yang mempunyai tahap ‘paling kurang konsumptif’ (least consumptive). Mereka sanggup melepaskan kesemua ikan yang ditangkap kembali ke perairan. Manakala pemancing yang ‘paling konsumtif’ (most consumptive) adalah mereka yang mengamalkan konsep ‘tangkap dan simpan’ (catch and keep) dengan menyimpan kesemua hasil tangkapan yang mereka perolehi.

Seperti bidang perikanan yang lain, perikanan rekreasi juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri iaitu:

1) Produk dan komoditi ekonomi di dalam perikanan rekreasi adalah ‘rekreasi’ dan bukan ikan yang ditangkap, dengan anggapan rekreasi tadi adalah ‘produk ekonomi’ yang boleh dijual beli.  
2) Tujuan utama pemancing pergi memancing mestilah untuk mendapatkan ‘rekreasi’ dan bukan untuk mendapatkan makanan atau sumber kewangan.
3) Perikanan rekreasi mempunyai ciri-ciri sosiologikal yang melibatkan aspek sosial dan psikologikal dalam diri pemancing. Terdapat ‘tema sosiologikal’ (sociological themes) yang dicari oleh pemancing seperti untuk berehat, menghayati keindahan alam, meluangkan masa bersama rakan/keluarga atau untuk melepaskan diri dari rutin harian.    
4) Suasana memancing (fishing setting) adalah penting didalam perikanan rekreasi kerana pemancing rekreasi akan memilih tapak memancing (fishing site) yang mempunyai kualiti estetika (esthetic qualities) (cantik) yang tinggi.
5) Pemancing rekreasi merupakan pengguna dan pembeli dan mereka bukannya pengeluar dan penjual.
6) Rekreasi memancing bukannya aktiviti ekonomi bagi menambah pendapatan akan tetapi merupakan aktiviti sampingan dimasa lapang.
7) Pemancing rekreasi terdiri dari pelbagai peringkat umur dan latarbelakang pekerjaan. Dari kanak-kanak hingga dewasa dan dari pemerintah hingga kepada rakyat biasa.



8) Perikanan rekreasi hanya wujud dalam negara yang makmur dari segi ekonomi dan tidak akan wujud didalam negara yang miskin.
9) Mempunyai unsur ‘sukan’ didalam aktiviti rekreasi memancing dimana ikan dan manusia bertarung menguji kekuatan masing-masing.
10) Tidak kesemua teknik menanggkap ikan boleh diterima pakai didalam perikanan rekreasi seperti penggunaan pukat yang boleh menangkap ikan dalam jumlah yang banyak atau penggunaan bom atau tuba. 

Reference : 
M.K.A. Satar, UPM.